Tuesday, November 11, 2008

Bahasa Inggeris vs Bahasa Melayu

Tertarik aku kepada perbincangan Hujah mengenai peminggiran BAHASA MELAYU pada siaran 10 November 2008. Pada sesi perbincangan yang diutarakan, panel ada menyebut mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris. Satu pertanyaan adakah dengan mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris telah menaikkan martabat pelajar-pelajar yang belajar di semua sekolah seluruh Malaysia ini. Mungkin bagi anak Menteri, pegawai kerajaan berpangkat tinggi, mereka yang terasuk dengan budaya kebaratan akan menghargai apa yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan dengan pengenalan PPSMI ini. Tapi pernah atau tidak mereka mengjenguk adik-adikku di kawasan luar bandar dan perkampungan?? Adikku sendiri sering mengeluh di rumah kerana mereka tidak memahami apakah yang telah dipelajari daripada guru semasa di sekolah. Teringat aku di ketika aku masih bersekolah menengah suatu ketika dahulu. Guru Bahasa Inggeris mengajar kami dalam Bahasa Melayu. Apa sudah jadi??? Terlalu sukarkah belajar Bahasa Inggeris??? Sebenarnya melalui pengalaman, adalah tidak sukar untuk mempelajari Bahasa Inggeris kerana setelah berada dalam suasana Bahasa Inggeris, mahu tidak mahu kita akan mempelajari dan menggunakan Bahasa Inggeris dalam situasi yang memerlukan. Aku akui yang aku lemah Bahasa Inggeris sewaktu di sekolah dahulu. Mana tidaknya, belajar Bahasa Inggeris di sekolah sahaja dan bila waktu pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris selesai, maka bermula kami semua akan bertutur dalam Bahasa Melayu. Bagiku pengenalan PPSMI telah merosakkan adik-adikku dan pelajar yang berasal daripada luar bandar. Bukan mudah kami untuk menukar segalanya kerana persekiran kampung tidak menggalakkan penggunaan Bahasa Inggeris. Aku aku bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa yang sangat penting sebagai bahasa perhubungan. Seperti kata panel dalam Hujah tersebut, Bahasa Melayu adalah sebagai bahasa ilmu yang dituturkan oleh 300 juta rakyat di rantau ini. Teringat aku pada suatu ketika, sewaktu bersembang dengan seorang pelajar Iran di stesen bas. Aku bermula dengan bertanya dalam Bahasa Inggeris (kononnya pelajar Iran tersebut tidak pandai bercakap dalam Bahasa Melayu). Maklumlah mereka bukan orang tempatan. Setelah perbualan telah berlalu dengan lama, tiba suatu saat pelajar tersebut bertanya beberapa istilah dalam Bahasa Melayu dan memintaku mengajarnya beberapa ayat yang sering digunakan dalam pertuturan seharian. Terkedu juga aku. Daripada sini aku menyedari bahawa suasana akan membuatkan kita bermotivasi dalam mempelajari bahasa lain untuk berkomunikasi. Kuseru kepada kerajaan untuk mengubah semula PPSMI kepada Bahasa Melayu semula. Kesian aku lihat adik-adikku dan masyarakat di sekeliling kampung. Sebagai menteri marilah turun ke kampungku dan lihat sendiri reality yang berlaku. Jangan sekadar bergaduh dalam parlimen dan membuat sesuatu yang memudaratkan bangsa sendiri. Ini tanah Malaysia. Ini Negara kita. Perkara 152 sepatutnya menjadi agenda penting kepada kita. Jangan kita takut menggunakan Bahasa Melayu untuk bersaing di peringkat global. Ayuhlah bangsaku berjuang memartabarkan bahasa ibunda kita. Kenapa harus malu untuk mempertahankannya. Malulah pada diri sendiri jika kita menggunakan Bahasa Inggeris dalam kehidupan yang penuh dengan tipu daya. Aku tidak hendak menidakkan Bahasa Inggeris tetapi sekadar berjuang untuk bahasa kita. Sudah banyak forum, seminar dan simposium yang telah dijalankan tetapi bila semua resolusi yang telah dibacakan akan dilaksana?? Tahniah kepada pihak DBP yang berjaya menganjurkan seminar Bahasa Melayu di Melaka. Semoga apa yang telah dibacakan dalam resolusi akan terlaksana. Aku akan tertunggu-tunggu perlaksanaannya.

No comments: